Firman  Allah dalam surah al-Ma’un ayat 4-6
 

 
Maksudnya:  Maka celakalah bagi  orang yang solat. (Iaitu) orang yang lalai solatnya dan orang-orang yang  riak. 
 
Ramai  dikalangan kita pernah mendengar perkataan riak ini, tetapi tidak ramai yang  sedar bahawa penyakit ini telah wujud dalam diri tanpa disedari dan tidak tahu  bagaimana ianya muncul dan seterusnya merebak. Di sini saya akan merungkaikan  apakah itu penyakit riak, bagaimana kehadirannya dan bagaimana mengatasinya.  Semoga dengan rungkaian ini anda dapat mengambil iktibar dan cuba mengenalpasti  adakah riak itu pernah ada dalam diri anda dan ikuti panduan yang di berikan  untuk membuang terus ataupun mengurangkan sedikit penyakit yang merosakkan  hati anda tersebut.
 
Pengertian  riak
 
Riak  itu ialah melakukan kebaikan dan amal ibadat semata-mata untuk mencari tempat di  dalam hati manusia.
 
Perkara yang  diriakkan oleh manusia;
 
  1-  Riak dari segi  badan
 
Riak  jenis ini menunjukkan seseorang itu menampakkan keletihannya kerana berpuasa dan  banyak berjaga malam untuk beribadat.
 
2-  Riak pada  pakaian
 
Seseorang  itu memakai pakaian yang menunjukkan kewarakan dirinya sedangkan hakikatnya  tidak. Memakai pakaian sebegini di hadapan golongan tertentu kerana kepentingan  diri sedangkan di waktu lain dia bukanlah sebegitu malah hatinya juga bukanlah  berniat untuk mendapat keredhaan Allah tetapi mengharap penghormatan daripada  orang lain.
 
3- Riak dengan  perkataan.
 
Riak  ini adalah seseorang itu menunjukkan dirinya seorang yang benar dan ikhlas  melalui perkataan yang keluar dari bibirnya. Tuturnya seperti seorang penasihat  dan pensyarah. Dia memilih lafaz-lafaz yang halus dan dalam maknanya juga kata-  kata hikmat beserta hadith. Dia juga berkata seperti kata para Nabi dan aulia  sedangkan pada hakikatnya dia sebenarnya sunyi dan kosong.
 
4-  Riak pada  amalan
 
Orang  sebegini adalah sering menzahirkan khusyuk dalam solat dan sengaja  memanjang-manjangkan rukuk dan sujud apabila ada orang melihatnya. Orang seperti  ini sering bersedekah secara terang-terangan, pergi menunaikan fardhu haji,  berjalan menundukkan kepala dan kurang berpaling ke kanan dan ke kiri padahal  Allah mengetahui batinnya. Sedangkan jika dia bersendirian amalannya bukan  sempurna sebegitu, seperti solat dengan cepat, berjalan laju dengan matanya  sering meliar ke sana ke mari dan sebagainya.
 
5-  Riak dengan ramainya murid dan  pengikut.
 
Seseorang  itu berasa bangga dengan murid dan pengikut yang ramai. Demikian juga seperti  seseorang yang sering menyebut nama ulama’ itu dan ulama’ ini bagi menunjukkan  dirinya seorang yang banyak bertemu dengan syeikh dan  ulama.
 
Peringkat  Riak
 
1- Riak  Akbar
Riak  akbar ialah seseorang itu  taat melakukan ibadat tetapi untuk mendapatkan sesuatu daripada manusia dan  bukanlah untuk beroleh keredhaan Allah SWT. Riak ini adalah berpaling terus  daripada Allah pada keseluruhannya kerana hanya berkiblatkan  manusia.
 
2- Riak  Asghar
Riak  asghar ini pula ialah  melakukan sesuatu untuk mendapatkan apa yang ada pada manusia dan apa yang pada  Tuhan iaitu melakukan amal kerana Allah dan kerana yang lain daripada-Nya. Riak  ini adalah lebih ringan daripada riak akbar kerana orang itu  menghadap Allah pada satu segi dan kepada manusia pada satu segi yang  lain.
 
3- Riak Jali (  yang terang )
Riak ini ialah  mendorong seseorang itu untuk melakukan amal ibadat. Sehinggakan jika tanpa riak  ini dia tidak berminat untuk melakukan amal.
 
4- Riak Khafi (  yang tersembunyi )
Riak ini pula  ialah riak yang tesembunyi dan ianya tersembunyi dalam hati di mana ianya  mendorong seseorang itu untuk lebih rajin beribadat.
 
Bagaimana  mengelakkan sifat riak?
 
Rawatan  terbaik bagi segala penyakit di muka bumi ini adalah menghindari dengan menjauhi  sebab-sebab
dan punca terjadinya penyakit. Begitu jugalah kepada penyakit  riak ini, iaitu menjauhi sebab-sebab yang
boleh  membawa kepada perasaan itu, antaranya ialah;
 
1-  Sifat suka dipuji oleh orang lain. Sifat ini akan membawa kepada bangga diri dan  suka menunjuk-nunjuk
kelebihan kepada orang lain.
2- Takut dikritik atau  dicerca oleh orang lain. Ketakutan ini boleh membawa kepada penampilan yang  kurang jujur dan suka berpura-pura.
3- Cintakan kehidupan dan kemewahan dunia  dan lupa pada kematian. Seseorang itu melakukan segala pekerjaan adalah  semata-mata kerana untuk menarik perhatian orang lain, dan menganggap dirinya  hebat. Manusia  sebegini mengharapkan ganjaran atas segala pekerjaan yang  dilakukan.
 
Setelah  mengetahui sebab-sebab yang menjadi punca riak, mari kita lihat  bagaimanakah cara untuk  menghindarinya. Terdapat  beberapa cara untuk menghindari sifat riak daripada menguasai  hati;
 
1-  Sentiasa mengingatkan diri sendiri tentang perkara yang diperintahkan Allah dan  juga sering menyucikan hati dengan melakukan ibadat-ibadat khusus seperti zikir  dan membesarkan kekuasaan Allah.
2- Mengawasi diri agar sentiasa takut akan  kemurkaan Allah. Dengan tabiat ini akan membawa diri agar sentiasa  berwaspada dalam melakukan perkara yang boleh mengheret kepada dosa dan seksaan   Allah pada hari akhirat kelak.
3- Berwaspada terhadap perkara-perkara yang  boleh menghapuskan pahala amalan yang dilakukan akibat riak.
4- Menanamkan  dalam diri perasaan bahawa melakukan sesuatu itu kerana manusia sehingga membawa     kemurkaan Allah itu adalah suatu perkara yang buruk dan patut  dijauhkan.
5- Sentiasa mengawasi diri daripada lalai terhadap ujian dan  nikmat yang dikurniakan Allah untuk menghampirkan diri kepada  Allah.
6- Ikhlaskan diri dalam setiap amalan yang  dilakukan.
 
Apabila  berasa suka dipuji dan diberi penghargaan setiap kali membuat sesuatu perkara  yang baik dan berasa terhina apabila ditegur, maka inilah tanda wujudnya  sifat riak. Adakalanya terdapat juga orang yang melakukan amal kebajikan  dengan niat ikhlas kerana Allah, namun dia mendapat perhatian daripada orang  lain atas amalannya. Keadaan ini tidak diambil kira sebagai riak kerana  dia sememangnya niat dengan ikhlas pada awalnya. Namun untuk melakukan  satu-satu ibadat pada
permulaannya memang akan timbul perasaan riak dan rasa  bangga diri, namun apabila amal itu sering dilakukan dan berterusan dengan  niat ikhlas pastinya perasaan riak itu akan terhapus
sedikit demi  sedikit.
 
Janganlah  takut untuk pergi ke masjid, mendengar tazkirah, menunaikan solat jemaah  dan sebagainya kerana takut akan dikatakan riak sedangkan dengan riak  itulah akan mendorong dan menggalakkan kita untuk beramal dan meningkatkan  ibadat. Tetapi jangan biarkan perasaan riak itu terus menerus menguasai diri  kerana apabila ada riak dalam setiap amalan maka amalan yang dilakukan adalah  sia-sia belaka. Wallahua’lam.
Rujukan:Ustaz Hazman Che Mohammed (KPPK)